KATA ALUAN YANG DI-PERTUA

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh/Salam sejahtera. Saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk memberikan sepatah dua kata dilaman web rasmi MASNITA. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada UNIMAS kerana memberi ruang laman web ini kepada MASNITA untuk membuat hebahan dan berkongsi segala aktiviti dan program yang dianjurkan oleh MASNITA bersama dengan ahli-ahli MASNITA dan juga staf wanita UNIMAS yang lain.

Saya berasa bangga dengan perkembangan MASNITA yang semakin hari semakin dewasa dan bergerak aktif dengan perancangan aktiviti yang dirancang secara tahunan. Semua aktiviti yang dijalankan oleh MASNITA adalah bertujuan untuk memperkayakan ilmu para ahli MASNITA dan staf wanita UNIMAS dalam membangunkan keluarga dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Oleh yang demikian saya mengucapkan tahniah kepada semua AJK MASNITA yang telah memainkan peranan dalam memastikan semua perancangan MASNITA sepanjang tahun berjalan dengan jayanya.

 

Saya juga ingin mengucapkan ucapan terima kasih kepada semua ahli MASNITA yang terus bersama MASNITA daripada awal MASNITA ditubuhkan sehingga sekarang dan saya juga ingin menyeru rakan-rakan staf wanita UNIMAS yang lain untuk turut sama menyertai MASNITA dan bergerak cergas dan aktif dalam aktiviti dan program yang kami laksanakan. Akhir kata saya merasa bersyukur dan bertuah kerana MASNITA kini beroperasi di bangunan sendiri yang telah diperuntukkan oleh UNIMAS.Ruang yang luas dan selesa ini memberikan suntikan semangat untuk ahli-ahli MASNITA bergerak aktif dalam segala aktiviti baik kelas masakan, senamrobik, aktiviti sosial, pendidikan, kerohanian dan sebagainya.

Selain daripada UNIMAS, MASNITA berharap dapat menjalin hubungan erat  dengan semua badan kerajaan, kementerian, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan, sektor swasta, persatuan-persatuan wanita di Sarawak dan di peringkat kebangsaan dan orang-orang perseorangan bagi membangun dan memartabatkan wanita di negara ini demi negara.Malaysia kita yang tercinta.

Sekian, terima kasih.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 
Image