

AGIHAN BUBUR LAMBUK MASNITA 2026
Alhamdulillah, pada 6 Mac 2026,Jumaat, bersamaan 16 Ramadhan 1447H, Persatuan Wanita Universiti Malaysia Sarawak (MASNITA) telah mengadakan Aktiviti Agihan Bubur Lambuk bertempat di PITAS, UNIMAS bermula 2.00 petang hingga 4.00 petang. Simbolik penyerahan sumbangan in telah disempurnakan oleh Ybhg Naib Yang DiPertua MASNITA, Pn Saptuyah Hj Mahmud.
Program ini dianjurkan sebagai salah satu usaha menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan di samping mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga universiti. Bubur lambuk yang disediakan telah diagihkan kepada ahli-ahli MASNITA, staf serta para pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Semoga perkongsian kecil ini dapat membawa kegembiraan serta menyemai semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam komuniti kampus sepanjang bulan yang penuh barakah ini.
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.



Iftar EXCO MASNITA 2026
Pada 6 Mac 2026, barisan Exco MASNITA telah menganjurkan majlis iftar di Warisan Kampung Buffet yang bertempat di Dewan PPNS, Kota Samarahan.
Program julung kali diadakan ini, turut bermakna dengan kehadiran Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Hj Ahmad Hata bin Rasit yang hadir memberikan sokongan kepada penganjuran aktiviti MASNITA dalam mengeratkan hubungan dan semangat kebersamaan di kalangan ahli.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Dipertua MASNITA, YBhg Prof Dr Ramlah Zainudin dan Naib Yang Dipertua MASNITA, Pn Saptuyah Hj Mahmud bersama barisan Exco yang lain. Program ini juga menjadi lebih bermakna dengan kehadiran ahli MASNITA bersama keluarga masing-masing yang menambahkan lagi suasana mesra dan harmoni sepanjang majlis berlangsung.
Majlis iftar ini menjadi platform untuk memperkukuhkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan warga MASNITA sambil menikmati pelbagai juadah berbuka puasa yang menyajikan hidangan tradisional kampung yang menyelerakan. Suasana santai dan penuh keakraban jelas terpancar sepanjang program, selari dengan semangat Ramadan yang menggalakkan kebersamaan dan silaturahim.


Program "JOM SHOPPING RAYA bersama Anak Yatim, Asnaf, OKU, B40 & Golongan Memerlukan" Summarize this email MASNITA
MASNITA UNIMAS Bawa Kegembiraan Raya Kepada 30 Anak Asnaf dan OKU dari Kampung Tebekang, Samarahan dan Asajaya
KOTA SAMARAHAN, 7 Mac 2026 – Seramai 30 orang anak asnaf serta anak Orang Kurang Upaya (OKU) bersama keluarga dari Kampung Tebekang, Serian, Samarahan dan Asajaya telah diraikan dalam Program Membeli-belah Sempena Hari Raya yang dianjurkan oleh MASNITA Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Jun Rong, Samarahan bermula jam 10.00 pagi.
Program ini telah diketuai oleh Yang Dipertua MASNITA UNIMAS, Profesor Dr Ramlah Zainuddin, bersama barisan EXCO MASNITA serta ahli-ahli MASNITA yang turut sama menjayakan aktiviti kebajikan tersebut.
Melalui program ini, setiap keluarga asnaf telah ditemani oleh ahli MASNITA untuk membantu mereka memilih dan membeli keperluan Hari Raya seperti pakaian dan barangan berkaitan. Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan urusan membeli-belah, malah memberi peluang kepada anak-anak asnaf OKU merasai pengalaman membuat persiapan Hari Raya dalam suasana yang ceria dan penuh kasih sayang.
Program ini merupakan antara inisiatif kebajikan MASNITA UNIMAS dalam menyantuni komuniti yang memerlukan, di samping menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan ahli.
Pihak MASNITA turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang Tabung Rizqi Qaseh MASNITA terutama Ahli Majlis Dekan, pegawai P&P UNIMAS yang telah menyumbang dengan penuh keikhlasan bagi menjayakan program ini. Sumbangan tersebut telah membolehkan anak-anak asnaf OKU menikmati pengalaman membeli-belah bagi persiapan Hari Raya serta membantu meringankan beban keluarga mereka.
Diharapkan usaha murni seperti ini akan terus mendapat sokongan pelbagai pihak agar lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu pada masa akan datang.


Majlis Khatam Al Quran MASNITA 2026
Persatuan Wanita Universiti Malaysia Sarawak (MASNITA) telah berjaya menganjurkan Majlis Khatam Al Quran MASNITA 2026, sebagai penutup rasmi kepada Program Tadarus Al Quran Ramadhan MASNITA yang berlangsung dari 19 Februari hingga 10 Mac 2026. Program ini menghimpunkan seramai 74 peserta daripada 10 kumpulan tadarus yang bersama sama menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al Quran secara sistematik sepanjang bulan Ramadan.
Majlis yang berlangsung di The Gallery, DeTAR PUTRA UNIMAS telah dirasmikan oleh Yang Dipertua MASNITA, YBhg Prof Dr Ramlah Zainudin dengan kehadiran Naib Canselor UNIMAS, YBhg Prof Dr Ahmad Hata Rasit, sebagai tanda sokongan terhadap usaha MASNITA memperkukuh budaya tilawah, penghayatan spiritual dan ukhuwah warga universiti. Kehadiran beliau menyerikan majlis serta mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong program pembangunan komuniti wanita.
Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua, Pn Saptuyah Hj Mahmud, ahli ahli MASNITA, wakil kumpulan tadarus dan para penerima Sumbangan Rizqi Qaseh 2026, yang bersama sama memeriahkan suasana majlis.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Kumpulan Tahtim Suara Warisan dari Kampung Sambir, diikuti bacaan khatam Al Quran secara beramai ramai yang menyemarakkan suasana penuh ketenangan dan keberkatan.
Program Tadarus Al Quran Ramadhan MASNITA bertujuan memupuk budaya tilawah secara konsisten, meningkatkan kesedaran spiritual serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan staf wanita UNIMAS. Selain memberi ruang pembelajaran sepanjang hayat, program ini turut menyumbang kepada kesejahteraan emosi, pemerkasaan wanita dan pengukuhan nilai integriti serta perpaduan dalam komuniti universiti.
Inisiatif ini juga menyokong aspirasi universiti dalam meningkatkan Staff Well Being Index di bawah Pelan Strategik UNIMAS, serta selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Good Health & Well Being), SDG 4 (Quality Education), SDG 5 (Gender Equality) dan SDG 16 (Peace, Justice & Strong Institutions).
Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada wakil kumpulan tadarus serta penyerahan Sumbangan Program Rizqi Qaseh 2026 kepada pelajar, staf dan institusi tahfiz terpilih, sebagai komitmen MASNITA dalam menyantuni komuniti menjelang Ramadan.
MASNITA berharap agar penganjuran program seumpama ini terus menjadi pemangkin dalam membentuk komuniti universiti yang sejahtera, berdaya tahan dan berteraskan nilai spiritual yang kukuh.


MESYUARAT AGUNG TAHUNAN MASNITA KE-24
Alhamdulillah, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MASNITA Ke-24 telah berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran ahli-ahli yang komited dan penuh semangat kebersamaan.
Tarikh: 8 April 2026 (Rabu)
Tempat: Bilik Pembelajaran 2, CTF4/ Secara Online
Sepanjang mesyuarat, pelbagai agenda penting telah dibentangkan dan dibincangkan, antaranya:
Pengesahan minit mesyuarat terdahulu
Pembentangan laporan aktiviti dan kewangan
Laporan audit
Perbincangan usul dan hal-hal berbangkit
Sebagai penghargaan, turut diadakan penyampaian hadiah saguhati kepada anak-anak ahli MASNITA yang cemerlang dalam SPM. Tahniah diucapkan! ![]()
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua ahli yang hadir serta jawatankuasa yang telah menjayakan mesyuarat ini dengan lancar.


Lawatan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuala Nerus Kuala Terengganu ke MASNITA, UNIMAS Eratkan Jalinan Silaturahim dan Perkongsian Komuniti
KOTA SAMARAHAN, 10 Jun 2026 – Persatuan Wanita Universiti Malaysia Sarawak (MASNITA UNIMAS) telah menerima kunjungan delegasi daripada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuala Nerus yang diketuai oleh Pengerusi, Datin Laila Tun Utama Ibrahim dalam satu sesi lawatan mesra yang berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada hari Rabu.
Lawatan tersebut bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim serta membuka ruang perkongsian pengalaman dan amalan terbaik antara kedua-dua organisasi dalam pelaksanaan program komuniti dan pembangunan sosial.
Delegasi PAWE Kuala Nerus telah disambut mesra oleh barisan exco MASNITA UNIMAS yang diketuai oleh Yang Dipertua MASNITA Prof Dr Ramlah Zainuddin. Dalam sesi yang berlangsung, kedua-dua pihak berpeluang berkongsi maklumat berkaitan aktiviti, program kemasyarakatan dan inisiatif yang dilaksanakan bagi memperkasakan ahli serta komuniti setempat.
Wakil MASNITA UNIMAS dan PAWE Kuala Nerus Kuala Terengganu turut menyampaikan ucapan penghargaan serta harapan agar hubungan yang terjalin dapat diteruskan melalui kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.
Lawatan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melalui pertukaran idea dan pengalaman, selain menjadi platform untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat.
MASNITA UNIMAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian delegasi PAWE Terengganu berkunjung ke UNIMAS dan berharap kenangan manis sepanjang lawatan ini akan terus mengeratkan hubungan antara kedua-dua organisasi.


